Isnin, Jun 11, 2007

Kehilangan Yang Tiada Pengganti

A'kum dan salam sayang untuk semua...

Berjumpa kembali. Apa khabar anda semua? Setiap dari kita mesti pernah dihadapkan dengan kehilangan ahli keluarga. Jumaat lepas saya telah kehilangan seseorang yang disayangi. Datuk saudara saya telah pergi ke Rahmatullah setelah hampir 10 hari dalam keadaan koma di Hospital Selayang. Waktu dia koma sempat juga pergi melawat tapi apalah yang boleh dibuat bila dia dah tak sedar dan dalam keadaan kritikal. Tepat jam 5.30 petang hari Khamis 14/6/2007 beliau telah pergi tinggalkan keluarga, sahabat dan teman-teman. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau.

Tiba-tiba bila tengah menulis ni teringat saya kepada seorang lagi insan yang paling saya sayang yang telah pergi tinggalkan saya. Ibu saya... Detik 11.30 malam 5 Oktober 2003 amat berkesan dalam jiwa dan hati saya. Detik itulah ibu telah pergi untuk selama-lamanya menyahut seruan Ilahi. Kini telah hampir 4 tahun ibu pergi tinggalkan kami tapi terasa seolah-olah baru semalam beliau pergi. Rindunya nak peluk mak lagi. Tak puas rasanya 24 tahun peluk dan cium mak. Tak puas rasanya 24 tahun ni bermanja dengan mak. Sekarang ni saya dah tiada lagi permata yang berharga itu. Menangis air mata darah sekalipun mak takkan kembali lagi.

Kenangan bersama arwah mak amat mendalam kesannya dalam hidup saya ni. Setiap masa setiap ketika teringat dan terkenang segala pesanan dan nasihat beliau. Ibu bersikap tegas dan disiplin dalam pendidikan seharian saya. Masa kecik-kecik dulu selalu sangat kena tibai atas kedegilan dan kenakalan. Masa tu asyik terfikir yang mak ni kuat sangat mengongkong tapi bila dah dewasa barulah nampak apa hikmah disebalik ketegasannya itu. Hikmahnya saya dahpun jadi orang yang berperangai orang. Kalau tak mungkin dah jadi orang yang berperangai Setannn....

Yang paling tak boleh lupa ialah saat-saat sebelum pemergiannya arwah mak telah siapkan 2 pasang baju Melayu untuk dipakai oleh dua anak lelakinya pada hari raya akan datang. Bila siap je baju melayu arwah mak terus je pesan yang tahun depan kalau nak baju Melayu buat sendiri. Dia takkan buatkan lagi. Mula tu ingat ianya satu gurauan tapi sebenarnya satu petanda yang ibu tersayang akan pergi tinggalkan aku. Dia lebih merasai yang dia akan pergi. Lebih kurang 4 bulan sebelum dia pergi dia telah suarakan hasrat mahukan saya pindah kerja hampir dengannya. Dalam kesibukan tu dapatlah juga kerja kat KL ni. Pindahlah kat Sg Buloh tapi hanya sempat 2 bulan bersama beliau. Kadang-kadang tu terbit rasa kesal dalam hati, kenapalah aku ni tak pindah awal-awal dok dekat ngan mak. Kenapalah 2 bulan sebelum mak pergi baru aku dapat dekat ngan dia. Itulah takdir. Takdir adalah penentu segalanya.

Makin hari makin nampak kesihatan mak makin menurun. Kerap sakit dan terbaring tak bermaya. Jauh kat sudut hati ni menangis sendirian mengenang antara kecekalan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu disaat-saat akhir hayatnya. Mak menghidap penyakit kencing manis dan sehingga hari ini penyakit inilah yang paling menghantui hidup saya. Arwah mak dimasukkan ke hospital setelah beberapa hari sakit. Setelah 10 hari berada di wad, di satu pagi Doktor telah mengatakan yang peluang untuk sihat amat tipis. Ini disebabkan oleh virus telah pun merebak ke bahagian otak dan paru-paru telah pun penuh dengan air. Saat tu dapat dirasakan dunia ni gelap seketika. Saya dapat rasakan masa tu yang saya dah makin hampir kehilangan seorang ibu buat selamanya.

Masih jelas diingatan bagaimana mak hanya mengangguk lemah bila saya dan adik meminta ampun dan minta halalkan makan minum. Mungkin masa tu mak dah tahu dia hanya tunggu masa untuk pergi. Genggaman tangan mak masih terasa hingga kini bila saya meminta ampun dengan dia. Tiada apa lagi yang boleh gambarkan saat tu. Hanya satu... Sedih dan Hiba.... Apa lagi yang boleh dibuat masa tu hanyalah panjatkan doa pada yang Esa. Selepas maghrib mak dah tak kenal sesiapa lagi. Keadaannya dah nazak. Yang kedengaran masa tu hanyalah bacaan Surah Yassin. Mohon dipermudahkan pemergian ibu tersayang. Sebagai anak, jauh disudut hati berdoa semoga mak tak terseksa dengan azab sakaratul maut. Biarlah dia pergi dengan tenang tanpa azab.

Tepat jam 11.30 malam tanda-tanda mak akan pergi semakin kuat. Skrin digital mesin penyambung hayat telah menunjukan tanda degupan semakin lemah. Doktor dan nurse telah mengerumuni katil tempat pembaringan mak. Dari jauh saya memerhati dengan penuh debaran dan iringan doa seorang anak agar mak dapat diselamatkan. Namun Allah lebih menyayangi insan yang paling saya sayangi itu lebih dari segala-galanya. Lebih kurang 15 minit berusaha Doktor telah mengesahkan mak dah tiada lagi. Saat tu tiada apa lagi yang dapat saya rasakan selain dari kesedihan dan kehilangan sesuatu yang berharga dari hidup ni.

Pemergian mak ibarat kehilangan tongkat kepada saya. Saya dan adik amat rapat dan emak lah tempat meluahkan segala rahsia, masalah dan yang paling penting emaklah sebagai sumber inspirasi saya. Segala kejayaan saya hari ini adalah berkat doa seorang ibu. Mak banyak memberi nasihat dan pandangan. Walaupun mak dah tiada, segala nasihat tetap saya ingat sebagai satu bekalan dan azimat untuk saya teruskan perjuangan hidup saya ni. Satu sikap mak yang tetap kental dengan saya ialah tetap ceria walaupun sedang sakit dan berhadapan dengan banyak masalah. Pengajaran yang saya dapat ialah walaupun apa jua masalah kita baik berat atau ringan janganlah sesekali kita rasa satu bebanan. Bersikaplah ceria kerana dengan keceriaan tersebut kita akan berupaya berfikir secara positif. Jangan tunjuk yang kita sedang bermasalah tapi tunjuklah kita sedang menyelesaikan masalah. Jangan jadikan orang sekeliling sebagai tempat lepaskan geram atas permasalahan kita.

Setelah merasai kehilangan beberapa orang tersayang membuatkan saya insaf dan pengajaran yang saya dapat ialah saya lebih menghargai tidak kira siapa orang tu. Baik teman, sahabat, kawan dan sebagainya. Dimasa akan datang, saya pasti saya akan menghadapi lagi pelbagai jenis kehilangan. Tak tahulah melibatkan siapa atau dalam bentuk apa. Namun pada yang akan dan telah meninggalkan saya, terima kasih kerana pernah hadir, sudi berkongsi impian dan mimpi, menjadi lilin yang membakar diri dan sekaligus mengizinkan namamu selamanya kusimpan di hati. Salam Sayang, Salam KAsih dan Salam Rindu dari saya kepada sesiapa jua yang membaca coretan hati saya ini. Sekian... Wassalam.

Doa Seorang Anak

Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami. Terimalah segala amal dan taubat mereka. Ya Allah, tempatkanlah mereka bersama-sama orang beriman. Rahmatilah mereka sepertimana mereka mengasihi kami sewaktu kami kecil. Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kubur mereka salah satu dari taman-taman di syurga dan janganlah kau jadikan kubur-kubur mereka ini salah satu dari lubang-lubang neraka. Ampunkanlah dosa-dosa mereka Ya Allah.....



"Engkau Tiba Bagaikan Pelangi, Tak Bercahya Namun Kau Berseri, Tapi Cukup Menghiburkan Hati Ini, Seharian Daku Bersamamu, Tak Terasa Saat Yang Berlalu, Bagai Pelangi Petang Kau kan Pasti, PERGI JUA......"

1 Juri Propesional:

e_keenz79 berkata...

al-fatihah untuk mereka yg telah pergi.moga ditempatkan dikalangan orang2 beriman.
Terasa sedih, sayu pabila membaca kisah awak.harap awak tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pesanan Penaja

Terima kasih kerana melayari ECHAM.COM. Segala apa yang disiarkan dihalaman ini adalah pandangan penulis semata-mata. Jika terdapat sebarang kekurangan sila abaikan.