Khamis, Mei 29, 2008

35 Tahun Pemergian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

Salam semua... Hari ini genap sudah 35 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Dilahirkan pada 22 Mac 1929 di pagi Hari Raya Aidilfitri dirumah neneknya di 40A, Counter Hall, Penang, Malaya. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak mengenali beliau. Pengenalan kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih. Beliau yang lebih dikenali dengan nama P.Ramlee bukan sahaja berbakat tetapi juga sebagai ikon seniman sepanjang zaman.

Siapa yang tidak tertawa apabila melihat jenakanya? Siapa yang tidak asyik apabila mendengar lagu-lagunya? Siapa yang tidak sedih apabila melihat lakonan menyayat hatinya? Siapa yang tidak terpana dengan filem arahannya?

Amat sukar untuk mencari insan yang boleh menandingi kehebatan beliau. Apatah lagi untuk mencari mereka yang boleh menggantikan P.Ramlee. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menggantikan tempat beliau sebagai seniman yang serba boleh. Biarpun dari seniman seangkatan dengannya atau pun dari generasi baru seniman yang lebih dikenali sebagai artis pada masa kini.

"Aku nak hidup sampai 1000 tahun lagi." Itulah katanya kepada salah seorang sahabatnya. Namun begitu apa yang telah dikatakan itu secara gurauan, kini beransur-ansur berubah menjadi realiti. Walaupun telah 35 tahun pergi meninggalkan kita namun segala karya beliau masih hidup segar sehingga kini.

Beliau meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Semoga pemergian beliau dirahmati Allah swt.

Pujangga pernah berkata, "Biar malaikat datang mengundang, tidak gentar untukku pulang. Kuucapkan selamat pergi, jangan sesekali ditangisi. Kerana diriku adalah insan kerdil, yang akan hidup di alam yang kecil. Teruskanlah perjuangan, sekali melangkah berundur jangan. Kudoakan semoga kita beroleh kemenangan."

0 Juri Propesional:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pesanan Penaja

Terima kasih kerana melayari ECHAM.COM. Segala apa yang disiarkan dihalaman ini adalah pandangan penulis semata-mata. Jika terdapat sebarang kekurangan sila abaikan.