Selasa, Ogos 17, 2010

Disakat Makhluk Tua (Siri 2)

Muka Mat Keledek dah seakan-akan ayam berak kapur. Penuh kegelisahan. Serba serbi tak kena. Kejap duduk, kejap berdiri dan ade masa-masa tertentu hisap rokok pun asap keluar ikut telinga. Dah macam watak beruk termakan cili padi dalam cerita yang dibuat oleh Filem Negara Malaysia gayanya. Abu Rumah D'Awan pula dari tadi asek menghisap rokok dan satu perangai pelik beliau sejak dari akil baligh ialah suka menggigit siku sambil menggaru lutut ketika menghisap rokok. Pernah juga masa mula-mula terkena kenan tersebut dibawa berubat hingga ke Gua Tempurung tapi selepas di sahkan mengidap sindrom terputus urat kentut maka mak ngan ayahnya terus menghentikan perbuatan yang sia-sia itu iaitu mengubat Abu Rumah D'Awan. Penuh kecewa juga Abu Rumah D'Awan bila mak dengan ayahnya menghentikan usaha pengubatan tapi kerana takut mak dan ayahnya lari mencari batu belah batu bertangkup terpaksalah Abu Rumah D'Awan merelakan segala apa yang ditanggungnya. Kalau disaat kawan-kawannya kentut dengan penuh nikmat tapi Abu Rumah D'Awan hanya mampu melihat dan mencium sahaja. Sungguh malang nasib yang terpaksa dihadapinya. Tak jauh dari tempat 2 sahabat itu membuat aksi-aksi pelik, kelihatan Li Mat Diah sedang bercakap sendirian. Mulutnya mengomel tak henti-henti dari tadi. Kadang-kadang ada jugak terdengar bahasa siam, sesekali terdengar bahasa Jerman dan kadang-kadang beliau juga boleh bertutur bahasa Belanda. Ini berikutan kerana beliau amat meminati pasukan Belanda dalam World Cup yang lepas.

Di atas pohon ketapang, makhluk hanyir, pekat dan melekat sedang lahap meratah ikan baung seekor demi seekor. Amat lapar lagaknya. Matanya memuntahkan cahaya merah biji saga, taring menyerigai. Bunyi kelahapan meratah baung telah memecahkan kesunyian malam. Tulang temulang berselerakan dibawah pokok ketapang. Hasil tangkapan pada malam itu kembali menyengat. Tak menang tangan menarik ikan dan memasang umpan. Malam tu aktiviti memancing betul-betul berjalan dengan lancar. Dalam masa 2 jam jut telah penuh semula. Ketika ini masing-masing telah lupakan peristiwa kehilangan ikan pada petang tadi. Sedang mereka begitu sibuk menarik ikan dan memasang umpan, tiba-tiba..... gedeburrrrrrrrrrr.... sesuatu seperti terjun ke dalam air. Air empangan berkocak hebat. 3 sahabat terperanjat sambil berpandangan antara satu sama lain. Suasana sepi seketika. Suara Li Mat Diah yang tadinya asek membebel dan membuat lawak bukan-bukan telah senyap dan kelu. Abu Rumah D'Awan dan Mat Keledek yang dari tadi asek gelak kini sudah macam budak lelaki sedang duduk atas batang pisang menghadap tok mudim. Muka pucat dan senyum pun dah kelat.

Air berombak agak perlahan. Sesuatu yang jatuh ke air tadi mula timbul ke permukaan dalam kegelapan malam. Permainan akan bermula sebentar lagi. Selang beberapa ketika, darah mula mengalir secara normal kembali dalam batang tubuh 3 sahabat itu. Masing-masing telah berani bersuara walaupun ade sedikit sumbang. Sumbang kerana ada elemen ketar-ketar dalam suara itu. Terutama Li Mat Diah lidah seakan-akan direndam air batu bila bercakap. Seandainya masa itu di minta telinga yang bercakap pun mereka rela asal mulut diam terkunci. Hampir setengah jam suasana sunyi sepi tanpa apa-apa bunyi. 3 sahabat itu pun turut diam jugak. Tanpa disangka-sangka dalam kesunyian itu, loceng yang tergantung di pancing Li Mat Diah bergetar hebat. Batang pancing melentur seakan ikan besar sedang melahap umpan. Li Mat Diah meloncat membuka kekuda seakan pendekar silam siap siaga ingin bertempur dimedan. Dengan pantas batang pancing disentap dan dikarau dgn pantas. Sesampai sahaja ditebing, umpan kap masih segar bugar hidup. Masih cergas mengelitik kelemasan diatas darat. Li Mat Diah pelik kehairanan. "Mungkin terlepas ikan tu agaknya" getus hati kecilnya. Umpan kembali dilabuhkan ke air.

Selang beberapa minit, batang pancing Mat Keledek pula menjadi sasaran ikan. Melentur bagai sedang ditarik oleh seekor anak dolphin gayanya. Kali ini Mat Keledek agak tenang. Tak seperti Li Mat Diah yang agak gelojoh tadi. Pancing disentap dan dikarau dengan pantas tapi kemas. Nampak beretika cara Mat Keledek mengawal keadaan. Pengalaman memancing sepat ronggeng di paya ladang ayah beliau banyak membantu dalam mengawal ketegangan ketika berhadapan dengan tarikan ganas ikan. Pernah sekali dulu beliau telah di tendang tulang rusuknya oleh ayah beliau iaitu En Mat Hussein Telinga Sumbing disebabkan Mat Keledek dengan secara gopoh gapah merentap pancing dan bahana paling kritikal ketika itu ialah hampir suku telinga kiri En Mat Hussien hilang didalam paya kerana tersangkut dgn mata pancing Mat Keledek. Selepas peristiwa itu dengar khabarnya hampir 7 kali musim menuai Mat Keledek tak turun memancing dek kerana larangan keras ayahnya. Karauan Mat Keledek sudah menghampiri tebing. Pancing masih terasa berat dan melentur. Mat Keledek makin yakin yang kali ini paling kurang pun Baung 5 kilo dah terjerat dihujung kailnya. Dalam fikirannya ketika itu telah terbayang keangkuhan. Keangkuhan untuk membuktikan dirinya masih relevan di arena pancing walaupun ayahnya En Mat Hussien dah tergolong dalam golongan mengalami kecacatan kekal akibat dari perbuatannya.

Tiba sahaja di gigi air, nasib yang sama menimpa Mat Keledek. Umpan ikan Kap masih aktif mengelitik kelemasan bila dikeluarkan dari air. Perasaan bercampur baur mula menguasai diri. Kecewa, marah, dan gagap mula menjelma walaupun beliau mula bercakap semasa berusia 2 tahun. Tapi kalau dah umur 30 tahun tapi gagap apa ke halnya. Suasana kembali sepi. Mat Keledek melabuhkan kembali umpannya ke air dan kembali duduk diatas tikar mengkuang. Li Mat Diah dah terguling gelakkan Mat Keledek kerana mendapat nasib yang sama seperti beliau. Mat Keledek mendengus sambil tangan ligat mencari rokok seludup yang dibeli di kedai mamak pagi tadi. Asap berkepul-kepul keluar dari serombong ekzos Mat Keledek. Rasa nikmat bila nakotin mula memenuhi ruang-ruang paru-paru dan otak.

Dari tadi Abu D'Awan hanya mendiamkan diri. Dalam benaknya sejak tadi belum berhenti memikir tentang beberapa perkara yang terjadi sejak petang tadi. Bau busuk dan hanyir yang datang secara tiba-tiba, ikan hilang walaupun jut tiada kebocoran yang melampau dan peristiwa tarikan ganas pancing tetapi umpan kap masih aktif. Kalau ikut kata hati lelakinya, mau je dia balik malam itu juga. Tapi kerana dek menjaga nama baik dan tokoh pancing paling hensem serta smart maka Abu pendamkan sahaja niat hatinya itu. Manalah tak dikatakan smart, pernah sekali dulu dia pergi memancing memakai seluar slack kain lembut dan kemeja lengan panjang siap gosok. Sekali tengok dah persis Pegawai Perikanan melawat kolam pancing. Menangis di pintu tangga maknya bila tengok anak kesayangannya berpakaian begitu bila pergi memancing. Bimbang dikatakan buang tebiat dan paling haru bila dikata kurang siuman nanti. Ibu manalah yang sanggup berhadapan dengan realiti-realiti macam tu.

Bersambung......

11 Juri Propesional:

sahromnasrudin berkata...

salam..jangan dibiarkan hidup kita diselubungi misteri...berkencang dada menunggu sambungannya .....

Don Balon berkata...

koi tunggu..
"blewok ke makan ikan tu weh?" ujang mat anti-klimaks sambil tersengih-sengih..

Webmaster@Echam berkata...

Tunggu kemunculan siri akhir pada hari esokkkk.. hehehhehe

Nerzhul berkata...

pandai jugek makhluk tu bergurau main tarik-tarik pancing.hehe

DDrfauziah berkata...

Aslmkm.
Aduhhh Echam ... posa2 buat citer separa suspense ni!

cemomoi berkata...

heee sesekali ngeri sesekali geli....

LIPISLADY berkata...

Assalamualaikum,

Kah kada' baca cerita aok nih dari siri satu dan dua, best jugak ceritanya, lambat lagi ke nok sambung siri 3, tak sabo nok tau apa endingnya...

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o berkata...

barunak seram dah bersambung...cepat sikit

pakcik kordi berkata...

deras sgt abihnye!ce wat pnjg sikit!hehehe..

best la beb cte ni!

Mazru Majid berkata...

waa..pandei aok mengarang weh..suke amat membacanye...

sambung cepat ckit weh

a kl citizen berkata...

memang kita ni ada urat kentut ke echam?
saspen......

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pesanan Penaja

Terima kasih kerana melayari ECHAM.COM. Segala apa yang disiarkan dihalaman ini adalah pandangan penulis semata-mata. Jika terdapat sebarang kekurangan sila abaikan.